blog ini mengajak 'orang kita' guna otakkk!!! Guna otakkk!!!

membincangkan konsep-konsep lebih kepada bidang perubatan dan mengajak orang ramai kepada kaedah perubatan yang lebih efektif dan 'reasonable'..

Thursday, 12 January 2012

Konsep Rawatan


Asyraf, 29 tahun begitu gembira mendapat tahu dia telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki hasil perkongsian hidup bersama isterinya selama dua tahun. Bayi comel tersebut ditatapnya berkali-kali dan telapak tangannya ditadah menandakan rasa syukur ke hadrat Allah Ta'ala yang Maha Pengasih. Azan dilaungkan ke telinga anaknya di sebelah kanan diikuti iqamah di sebelah kiri telinga. Padanya, doa yang tidak putus-putus kepada Illahi agar dikurniakan cahaya mata akhirnya telah dijawab. Pulang dari hospital nanti, dia merancang untuk membuat kenduri doa selamat dan majlis kesyukuran menyambut ketibaan orang baru. Sebelum pulang, pemeriksaan terakhir ke atas bayi beliau dilakukan untuk memastikan tiada sebarang masalah. Sewaktu pemeriksaan ke atas mata kanan bayi tersebut, doktor mendapati seolah-olah selaput di bahagian kanta mata. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat ketumbuhan di dalam mata bayi tersebut. Diagnosis segera dibuat dan berita buruk bakal menggegarkan keluarga Asyraf. Doktor mengesahkan bayinya menghidapi sejenis ketumbuhan yang dinamakan Retinoblastoma. Walau bagaimanapun, ianya masih di perignkat awal dan doktor mencadangkan supaya bayinya menjalani pembedahan segera untuk membuang seluruh mata anaknya di sebelah kanan. Bagaikan halilintar, berita tersebut didengar Asyraf antara percaya atau tidak. Beliau bersetuju untuk diberi masa untuk membuat keputusan tersebut dan berjanji akan membuat keputusan secepat mungkin memandangkan komplikasi yang teruk bakal berlaku jika tidak dirawat melalui kaedah pembedahan.
Retinoblastoma merupakan sejenis penyakit kanser mata yang paling kerap berlaku pada kanak-kanak. Mengikut teori, ianya terjadi akibat mutasi gen yang berlaku sewaktu pembentukan mata di dalam kandungan. Ia boleh dikesan di peringkat awal melalui pemeriksaan apabila didapati reflex mata bayi tidak normal. Kebiasaannya reflex mata akan menunjukkan cahaya merah apabila terkena cahaya, tetapi apa yang berlaku pada penghidap retinoblastoma, reflex matanya menyerlahkan warna putih apabila disuluh. Setakat ini, tiada rawatan melalui kaedah perubatan sahaja yang dapat menyembuhkannya. Ianya perlu dibedah bagi memastikan kanser tersebut dapat dibuang 100%. Jika ada baki kanser yang masih tinggal setelah selesai pembedahan, peluang untuk ianya terjadi lagi mungkin ada. 
Situasi di atas tidak mustahil boleh berlaku pada anda. Membuat keputusan yang bakal menentukan hidup mati seseorang adalah tidak mudah. Begitu juga, untuk meyakinkan ibubapa mengizinkan anak mereka menjalani rawatan pembedahan tidak mudah. Sebelah mata yang dibuang akan menyebabkan bayi tersebut cacat seumur hidup. Tidak semua orang akan percaya apa yang doktor katakan. Tidak 100%. Doktor bukannya tuhan yang berkuasa menentukan perjalanan hidup seseorang. Rawatan yang dijalani perlulah berteraskan jenis penyakit yang dihidapi dan bagaimana ianya boleh berlaku. Bagi mereka yang beragama islam, ada di antara mereka yang melihat perubatan moden dewasa ini dipelopori oleh golongan kafir dan kaedah rawatan ini juga tidak berlandaskan islam. Skop mereka perubatan islam ini hanyalah perubatan yang berlandaskan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sahaja beserta penggunaan herba-herba. Manakala kaedah pembedahan adalah jauh terpesong dari landasan sebenar.
Realitinya tidaklah begitu. Konsep rawatan dalam islam adalah luas. Segala-galanya luas. Al-Quran yang diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu mengandungi pelbagai kisah dan pengajaran serta menjadi pedoman untuk sekelian alam. Ia menerangi segenap ruangan gelap yang nyata dan tersembunyi di dalam hati setiap makhluknya samada jin atau manusia, atau lain-lain. Ada beberapa surah daripada al-Quran yang boleh dijadikan hujah di sini. Al-Quran menyuruh mereka yang ingin mendalami sesuatu ilmu itu agar bartanya pada mereka yang lebih tahu, yang mana ianya tidak spesifik kepada kafir atau pun islam. Di zaman nabi, pihak musuh yang ditawan oleh tentera islam disuruh supaya mengajarkan ilmu kepada orang-orang islam. Di sini satu konsep telah didapati di mana ilmu itu boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, baik si kafir atau pun yang islam. Kerana ilmu itu adalah hak Allah S.W.T.. Dia yang menentukan kepada siapa ilmu itu akan diberi. Tugas kita sebagai umat yang mengaku islam hendaklah mencari ilmu. Timbul persoalan pula, ilmu mana yang dikatakan benar. Ilmu yang ada pada hari ini ada yang terbukti benar dan ada yang belum terbukti kebenarannya. Kita sedia maklum. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud bahawa Allah S.W.T. tidak akan menciptakan ubat daripada sesuatu yang haram yang mana ianya boleh dijadikan panduan dalam kaedah perubatan kini. Kita juga diajar melalui hadis nabi, bahawa setiap penyakit ada ubatnya dan hendaklah seseorang itu berubat, tetapi kemujarabannya terserahlah kepada Yang Maha Kuasa. Maka ilmu mana yang benar hanya boleh diyakinkan melaui kaedah ujian tertentu dan jika seseorang itu mempertikaikannya, dia sendiri yang perlu mengkaji dan beban menuntut ilmu tersebut terletak atas bahunya.
Berbalik kepada kisah di atas, tahukah kita bahawa di dalam kitab karya Ibnu Sina, beliau ada menyelitkan kaedah perubatan melalui pembedahan di akhir-akhir jilid kitabnya? Dan tahukah juga kita bahawa kebanyakan peralatan pembedahan yang ada pada hari ini dicipta oleh orang islam? Ini bermakna islam tidak menolak kaedah rawatan melalui pembedahan kerana ianya juga satu bentuk rawatan yang berkesan bagi sesetengah jenis penyakit. Sehingga kini kaedah perubatan moden masih terus berkembang dan penemuan demi penemuan terus berlaku yang bakal membawa kepada kaedah perubatan yang lebih efektif. Maka, jika seseorang itu memilih untuk menjalani kaedah rawatan alternatif atau tradisional, atas alasan apa? Sejauh mana ianya dibuktikan berkesan? Cukupkah dengan hanya berdoa sahaja? Memang diakui bahawa pada zaman rasulullah terdapat kisah-kisah ajaib yang mana rasulullah sendiri menyembuhkan mata sahabat yang buta akibat perang dengan kaedah doa. Tapi itu ialah RASULULLAH! Baginda memang mempunyai kelebihan dan mukjizat yang luar biasa yang tidak dapat dilangkaui akal manusia yang serba kekurangan. Begitu juga kisah nabi Isa yang dapat menghidupkan mayat, dan sebagainya. Semua itu bukanlah untuk kita contohi, tetapi untuk menunjukkan betapa Allah itu Maha Berkuasa. 
Sebagai kesimpulan, suka saya sebutkan di sini sebagai renungan. Sewaktu Nabi Muhammad S.A.W. masih kecil, telah datang kepadanya malaikat yang menyerupai manusia. Malaikat tersebut telah ditugaskan untuk menyucikan hati baginda. Pada waktu itu, badan baginda telah dibelah dan hati baginda telah dikeluarkan dan dicuci dengan air zam-zam. Allah itu Maha Berkuasa dan secara logiknya, boleh sahaja Dia menyucikan hati nabi tanpa kaedah pembedahan. Tapi? Nah! Di sini ingin ditunjukkan kepada kita bahawa pembedahan itu tidak salah dan jika perlu, ianya wajib dilaksanakan jikalau itu adalah yang terbaik bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Sesuatu yang dilakukan perlulah berlandaskan hujah-hujah dan alasan-alasan yang munasabah. Lebih utama jika dapat disertakan bukti-bukti bagi menyokong setiap tindakan yang diambil. Begitu juga, jika perlu membantah, ianya juga perlu disertakan dengan hujah-hujah dan alasan-alasan yang munasabah. Lebih utama jika dapat disertakan bukti-bukti bagi menyokong setiap bantahan yang dibuat. Itulah peri pentingnya penggunaan 'akal' kepada manusia.

No comments:

Post a Comment