blog ini mengajak 'orang kita' guna otakkk!!! Guna otakkk!!!

membincangkan konsep-konsep lebih kepada bidang perubatan dan mengajak orang ramai kepada kaedah perubatan yang lebih efektif dan 'reasonable'..

Saturday, 21 January 2012

LETIH LESU & LEMAH

Saya memahami letih sebagai orang yang tidak bermaya untuk meneruskan pekerjaan akibat dirasakan tidak bertenaga. Lesu pula sebagai orang yang tidak bermaya yang dirasakan walaupun sewaktu tidak membuat sebarang pekerjaan. Letih dan lesu termasuk dalam kategori tidak bermaya dan kedua-duanya disebabkan oleh kekurangan tenaga. Sementelah letih dan lesu memberi maksud yang subjektif, lemah pula memberi maksud yang objektif. Seperti perlawanan gusti lengan antara dua orang berakhir dengan kekalahan salah satu di antara keduanya dan yang kalah terbukti lemah jika dibandingkan dengan yang menang. Maka, sebagai contoh, jika seseorang itu mengatakan yang dia mengalami keletihan dan kelesuan, tidak bermakna yang dia lemah kerana setelah diuji didapati dia masih mampu mengangkat beban yang berat. Cuma itu ialah apa yang dirasainya iaitu letih dan lesu sahaja. Jika anda masih muda dan mengalami letih lesu, anda mungkin dianggap kurang motivasi jika ujian kekuatan membuktikan anda tidak lemah. Ketiga-tiga letih, lesu, dan lemah boleh sahaja wujud serentak seperti ketika berpuasa. Tetapi sebenarnya, motivasi diri adalah segala-galanya pada waktu itu. Hari Isnin dirasakan letih dan lesu bagi kebanyakan orang untuk memulakan sesi pekerjaan pada minggu tersebut walaupun pada hakikatnya mereka semua sihat, tetapi akibat daripada kurangnya motivasi diri. Lemah boleh terjadi tanpa kehadiran letih dan lesu, yang mana terjadi jika kita tidak mempunyai jumlah garam yang mencukupi di dalam tubuh badan. Pesakit 'hypokalemia' didapati panik apabila gagal mengangkat kaki dan berjalan walaupun berusaha dengan sepenuh hati dan tenaga, maka ini yang dipanggil lemah. Kebanyakan mereka yang mengadu lemah badan perlu dibezakan dengan letih dan lesu atas sebab-sebab yang telah dinyatakan sebentar tadi. Letih lesu dikaitkan dengan tiada tenaga yang terhasil. Tenaga dalam tubuh badan diperolehi melalui gula dalam bentuk karbohidrat dan lemak. Protein juga boleh bertukar menjadi gula tetapi prosesnya lambat. Gula yang efektif biasanya hadir dalam bentuk karbohidrat. Maka, kekurangan tenaga boleh terjadi akibat kekurangan gula. Ia juga boleh terjadi akibat kegagalan sel-sel tisu badan menggunakan gula seperti penyakit diabetes jenis II, atau disebabkan kekurangan agen (insulin) yang membantu penyerapan gula ke sel-sel seperti pesakit diabetis jenis I, atau penghasilan insulin yang berlebihan dalam penyakit ketumbuhan 'insulinoma', atau penggunaan gula yang berlebihan disebabkan oleh proses metabolisma yang pantas seperti yang terjadi dalam 'hyperthyroid', atau disebabkan proses metabolisma yang lembab seperti yang terjadi dalam 'hypothyroidism'. Tenaga juga terhasil daripada proses metabolisma oksigen. Maka sebarang penyakit yang menganggu kelancaran oksigen ke sel-sel badan boleh mengakibatkan keletihan, seperti yang berlaku pada penghidap penyakit paru-paru kronik, pesakit kegagalan jantung, pesakit anemia, dan sebagainya. Selain itu, dengan memahami anatomi manusia, maka kita dapat menajamkan lagi pemahaman kita tentang tajuk yang sedang diperbincangkan. Organ-organ yang terlibat dalam menghasilkan upaya adalah seperti otot, urat saraf, sinaps (synapse; junction between muscle and neuron), saraf tunjang, dan otak. Maka sebarang penyakit yang melibatkan salah satu daripada bahagian-bahagian di atas akan menyebabkan simptom letih, lesu, dan lemah. Klu-klu boleh didapati jika terdapat kerosakan pada bahagian-bahagian tersebut. Jika urat saraf mengalami masalah, maka anggota yang terlibat akan merasa kebas atau lenguh. Jika bahagian sinaps yang bermasalah, otot-otot akan menjadi letih jika digunakan secara kerap dan lama seperti sewaktu memandu kereta dan melihat pada cermin pandang belakang. Jika saraf tunjang yang mengalami masalah, keadaan lemah dan kebas dirasai separuh badan pada bahagian bawah. Jika otak yang mengalami masalah, maka fungsi otak yang lainnya mungkin turut terjejas, seperti mengingat, berfikir logik, menelan makanan, melihat, dan sebagainya. Kebanyakan warga tua yang mengadu letih, lesu dan lemah mempunyai kombinasi kesemua tadi. Pada usia tersebut, mereka mungkin salah seorang penghidap diabetes (kencing manis), atau mempunyai selera makan yang kurang (kurang zat makanan), atau keadaan penyerapan oleh  usus yang tidak efektif, atau jantung mereka sudah tidak kuat, atau mereka mendapat penyakit paru-paru kronik (COAD) akibat kerap merokok sewaktu muda, atau hanya kurang motivasi diri (tekanan dan masalah dengan anak-anak), atau kekurangan darah yang kronik (disebabkan ulser di perut kerana mengambil pil tahan sakit secara berlebihan), dan lain-lain faktor. Cuma beberapa perkara perlu dikenalpasti terutamanya jika masalah tersebut disebabkan oleh angin ahmar, atau garam di dalam tubuh yang tidak seimbang atau mencukupi. Selainnya mudah untuk dikenalpasti melalui pemeriksaan yang rutin dan ujian darah yang mudah. Semua kita boleh mengalaminya, tetapi haruslah berwaspada jika ianya terjadi secara tiba-tiba, atau menghilangkan upaya untuk berdikari atau mengganggu tidur, atau disertai tanda-tanda pelik seperti meracau, tabiat tidak normal, demam yang kuat, atau tidak respon apabila dipanggil, atau apa sahaja yang merunsingkan, maka bawalah pergi berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut. Penyakit-penyakit yang menyebabkan letih ,lesu dan lemah adalah banyak, tetapi konsepnya adalah tetap sama. Memahami konsep sudah cukup untuk meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya menjaga kesihatan. 

No comments:

Post a Comment