blog ini mengajak 'orang kita' guna otakkk!!! Guna otakkk!!!

membincangkan konsep-konsep lebih kepada bidang perubatan dan mengajak orang ramai kepada kaedah perubatan yang lebih efektif dan 'reasonable'..

Saturday, 21 January 2012

PENING KEPALA

Pening kepala dalam istilah perubatan membawa maksud dizziness, giddiness, atau 'vertigo'. Dizziness dan giddiness membawa maksud yang lebih kurang sama. Tetapi vertigo mempunyai maksud yang sangat berlainan. Untuk mudah memahami, bayangkan anda berpusing pada satu paksi selama beberapa saat dan kemudian berhenti secara tiba-tiba. Kemudian anda mengambil beberapa langkah berjalan. Anda akan berasa ketidakstabilan pada waktu itu, dan itulah yang dipanggil vertigo! Vertigo juga sama seperti istilah 'mabuk laut' yang sering diguna pakai. Giddiness dan dizziness pula ialah seperti kepala yang dirasakan ringan, berlaku pada bila-bila masa terutama sewaktu berubah posisi secara tiba-tiba daripada baring atau duduk kepada posisi berdiri. Syncope pula istilah lain yang digunakan untuk mewakili apa yang dipanggil pengsan, manakala 'pre-syncope' pula membawa maksud 'gelap mata'. Kedua-dua syncope dan presyncope juga boleh berlaku sewaktu berubah posisi dan kedudukan. Jika anda sudah 'familiar' dengan istilah-istilah tersebut, maka mudah bagi anda berkomunikasi dengan doktor yang merawat anda. 

Sebenarnya, sewaktu berubah posisi daripada baring atau duduk, kepada keadaan berdiri, anda mengalami kebanyakan proses di atas. Bermula daripada giddiness/dizziness, kepada pre-syncope, seterusnya kepada syncope. Ada tiga anatomi yang memainkan peranan iaitu, urat saraf (nerve), pembuluh darah (blood vessel), jantung, dan otak. Kadang-kadang kekurangan gula yang sederhana juga boleh menyebabkan keadaan yang sama. Mari kita bayangkan diri kita sebagai orang tua. Orang tua mempunyai pergerakan yang lambat. Refleks mereka lambat (bahaya kalau bawa kenderaan). Mereka memerlukan masa untuk bergerak, tidak seperti orang muda. Di dalam tubuh badan manusia, terdapat sistem saraf yang mengawal jumlah darah yang diperlukan seseorang bergantung kepada aktiviti yang dilakukan pada waktu itu. Jumlah darah yang diperlukan sewaktu berlari adalah lebih berbanding sewaktu berjalan. Begitu juga darah yang diperlukan sewaktu berjalan adalah lebih berbanding berdiri, duduk, dan baring. Sewaktu berlari, otot-otot memerlukan lebih zat dan oksigen yang dibawa oleh darah. Maka urat saraf bertindak mengesan perubahan ini melalui signal yang dipancarkan daripada otot-otot tadi dalam bentuk kimia di dalam darah. Signal tersebut dikesan oleh urat saraf yang mengawal pembuluh-pembuluh darah dan jantung. Jantung akan bertindak menguat dan meningkatkan jumlah tekanan. Diameter salur darah pula akan mengecil. Kesemua proses ini akan meningkatkan jumlah darah kepada otot-otot. Kesemua proses ini berlaku dalam kesemua aktiviti termasuk berfikir, berdiri, dan sebagainya, cuma sedikit berlainan antara satu sama lain tetapi konsepnya tetap sama. Sewaktu bangun daripada tidur, jika anda terus berdiri, graviti akan menarik darah ke bawah. Bahagian atas badan seperti otak mengesan perubahan ini dan menghantar signal kepada saraf seperti yang telah dijelaskan tadi. Bezanya cuma pada usia senja, proses tersebut menjadi lambat, dan akibatnya, otak yang kekurangan darah akan mengalami pening (giddiness/dizziness), dan jika proses pembekalan darah ini tidak berjalan seperti biasa, maka presyncope akan datang, diikuti syncope. Sama seperti rasa kebas yang dialami oleh kaki atau tangan akibat kekurangan darah, cuma bezanya ia dialami oleh otak dalam bentuk yang berlainan. 

Vertigo pula lain ceritanya. Di dalam telinga, terdapat satu saluran yang membantu keseimbagan yang dipanggil 'labyrinth'. Di dalam saluran tersebut terdapat cecair yang berfungsi mengawal keseimbangan. Ia dikatakan sebagai alat bagi otak untuk menterjemahkan keseimbangan di persekitaran, sama seperti mata sebagai alat untuk otak menterjemahkan penglihatan, dan hidung sebagai alat untuk otak menterjemahkan bau-bauan. Jika terdapat masalah pada bahagian saluran ini, maka vertigo akan berlaku! Masalah boleh berpunca daripada kerosakan akibat trauma (kemalangan jalan raya, jatuh, dll), penuaan, serangan jangkitan, dan sebagainya. Di antara yang popular ialah yang dipanggil BPPV (benign paroxysmal positional vertigo). Ia berlaku apabila terdapat pembentukan kristal pada cecair dalam saluran yang mengawal keseimbangan tadi. Atau bulu halus di dalam saluran tersebut yang berfungsi sebagai agen penerima signal di antara cecair dan urat saraf didapati tertanggal dan terapung apung di dalam cecair tersebut. Kedua-dua keadaan tersebut memberikan isyarat yang salah kepada otak. Otak menterjemahkannya sebagai tidak seimbang dan itulah yang dialami oleh penghidapnya ketika itu, iaitu 'vertigo'. Selain itu, kecacatan pada labyrinth juga boleh terjadi di mana satu saluran terbentuk (akibat jangkitan, trauma, dll) yang dipanggil 'fistula' dan mengakibatkan vertigo. Oleh sebab otak yang menterjemahkan vertigo, maka vertigo juga boleh berlaku jika masalah berlaku pada otak itu sendiri, yang mana ia adalah serius. Angin ahmar (stroke) ialah antara penyebabnya. Maka, ciri-ciri angin ahmar perlu dikenalpasti kerana terdapat beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan bagi penghidap angin ahmar. Tajuk angin ahmar perlu diperbincangkan pada sesi yang lain kerana rangkumannya adalah luas.

Anda perlu dibawa berjumpa doktor jika pening kepala tersebut disertai dengan hilang ingatan, tingkah-laku yang tidak normal, lemah pada badan (terutama separuh badan; kiri atau kanan), demam yang kuat, pengsan, masalah penglihatan, sakit yang kuat pada kepala, atau apa sahaja simptom-simptom yang merunsingkan anda. 

No comments:

Post a Comment