Sakit kepala dan pening kepala sering disalah ertikan di antara satu sama lain. Dalam istilah perubatan, sakit kepala ialah 'headache' manakala pening kepala pula memberi maksud berlainan iaitu 'giddiness', 'dizziness', atau 'vertigo'. Ada empat punca sakit kepala; iaitu yang disebabkan masalah pada pembuluh darah (vascular), masalah otot (muscular), tarikan (traction) dan kebengkakan (inflammation). Kita perlu tahu bahawa sakit kepala boleh berpunca daripada masalah kesihatan kita yang lain. Ia boleh jadi berpunca daripada demam, angin ahmar, darah tinggi, kurang darah (anemia), atau kurang gula (hypoglycemia). Semua itu boleh kita cegah jika kita tahu punca.
Walau bagaimanapun, terdapat sakit kepala yang dipanggil sakit kepala primer (primary headache) di mana kebanyakannya berpunca daripada empat gangguan seperti yang telah diterangkan tadi. Manakala sakit kepala sekunder (secondary headache) adalah seperti yang telah dinyatakan seterusnya. Penting untuk kita ketahui sama ada ianya primer atau sekunder kerana jenis rawatan adalah berlainan. Sakit kepala primer yang paling kerap dihidapi mengikut turutan ialah sakit kepala kluster (cluster headache), migrain, sakit kepala akibat tekanan (tension headache) dan TAC (trigeminal autonomic cephalalgia). Selain itu terdapat sakit kepala primer lain yang jarang berlaku, di antaranya sakit kepala kronik (chronic daily headache), sakit kepala yang disebabkan oleh masalah batuk (cough headache), atau disebabkan aktiviti senaman (exercise headache), atau setelah mengadakan hubungan kelamin (sex headache), atau sakit kepala 'hipnik' (hypnic headache) yang kerap mengganggu tidur seseorang. Sesetengah sakit kepala primer didapati berpunca daripada gaya hidup seseorang seperti pengambilan alkohol (arak), pengambilan sesetengah jenis daging yang siap diproses (yang mengandungi nitrates), kurang tidur, posisi badan yang salah, kurang makan, atau stres. Sakit kepala sekunder selain daripada di atas, adalah berpunca daripada jangkitan selaput otak (meningitis), masalah penglihatan (glaukoma, dll) dan sebagainya.
Sakit kepala kebanyakannya tidak bahaya. Maka, bilakah sebenarnya kita perlu dibawa berjumpa doktor? Iaitu apabila kita mengalami sebarang kekeliruan berfikir (confuse) yang mungkin disedari oleh ahli keluarga kita yang lain, atau suhu badan yang terlalu tinggi iaitu melebihi 38.5 C, atau pengsan, atau rasa kebas atau lemah pada muka dan anggota badan, atau secara tiba-tiba mengalami masalah penglihatan, berjalan, bercakap, atau mengalami loya dan muntah secara tiba-tiba tanpa sebab lain (keracunan, sakit tekak, dll). Manakala, bagi mereka yang telah lama mengalami sakit kepala, tetapi malas berjumpa doktor, pergilah membuat temu janji untuk berjumpa doktor, walau hanya sekali jika sakit kepala yang dirasai secara tiba-tiba menjadi lebih kerap, kesakitan yang dirasai bertambah teruk, atau ubat yang kebiasaannya dibeli di farmasi sudah tidak berkesan, atau sakit kepala tersebut mengganggu aktiviti harian dan juga tidur, atau ianya menyebabkan gangguan emosi.
Pengetahuan anatomi kepala manusia banyak membantu menyelesaikan masalah sakit kepala. Kepala diselaputi oleh kulit. Di bawahnya terdapat jaringan tisu yang mengandungi saraf dan pembuluh darah, yang di bawahnya terdapat lapisan 'aponeurosis' iaitu sel yang sama dengan struktur tendon yang menyerupai lapisan yang nipis dan kukuh yang dipercayai berhubung dengan otot di sekitar tengkuk dan muka, yang di bawahnya terdapat tisu-tisu penghubung (loose connective tissue), yang di bawahnya terdapat tulang tengkorak. Di dalam tengkorak pula terdapat beberapa lapisan yang dipanggil dura mater, arachnoid, dan pia mater, dan di dalamnya lagi terdapat otak beserta jaringan pembuluh darah. Otak pula mengandungi tiga bahagian yang penting.
Jika kita mengkaji anatomi manusia pada bahagian badan yang lain, kita akan dapati kebanyakan yang ada pada kepala juga terdapat pada bahagian badan yang lain. Jika di kepala ada kulit, di tangan juga ada kulit. Jika di kepala ada pembuluh darah, di tangan juga ada pembuluh darah. Jika di kepala ada saraf, di tangan juga ada saraf. Begitu juga dengan kaki, perut, dada, dan sebagainya. Jika kaki mengalami masalah pembuluh darah (arteritis obliterans), kepala juga boleh mengalami masalah pembuluh darah (migrain, temporal arteritis), cuma sakitnya sedikit berlainan, walaupun sebenarnya rasa sakit kedua-duanya boleh dikatakan sama tetapi di tempat yang berlainan. Pembuluh darah boleh dibahagikan kepada dua secara amnya iaitu arteri dan vena. Arteri membawa darah ke tisu-tisu dan organ-organ di dalam badan, manakala vena membawa bahan kumuhan hasil metabolisma daripada tisu-tisu dan organ-organ di dalam badan. Jika sesuatu tisu atau organ tidak dapat oksigen dan zat-zat melalui arteri, tisu atau organ terbabit akan mati. Dan seperti sakitnya sewaktu nyawa kita dicabut, begitu jugalah sakitnya organ tadi akibat kekurangan oksigen dan zat-zat. Kesakitan yang disebabkan oleh masalah arteri adalah terlalu sakit tidak dapat dibayangkan. Mereka-mereka yang pernah mengalaminya membayangkan seperti disiat-siat, 'cramping pain', bagai ditusuk, dan sebagainya. Tanyalah mereka yang pernah mengalaminya seperti pesakit serangan jantung, 'mesenteric ischemia', 'arteritis obliterans', migrain, dan sebagainya, kerana mereka lebih tahu. Sakit yang dirasai berpunca daripada saraf (nerve) pula adalah seakan-akan tajam beserta gencatan dan menjalar (sharp shooting). Ianya seperti sakit saraf trigeminal (trigeminal neuralgia) di muka, atau sakit belakang (prolapsed disc) yang mengakibatkan 'sciatic pain' iaitu tekanan pada saraf skiatika (sciatic nerve). Sakit otot pula kebiasaan terjadi jika otot tersebut diguna secara berlebihan. Semua orang pernah mengalami sakit otot. Ia seperti ketegangan, lenguh, 'cramping' dan ketidakselesaan. Sakit yang berasal daripada tulang agak susah diterangkan. Boleh dikatakan ianya seperti ketajaman dan secara spesifiknya sakit bila ditekan tepat pada bahagian tersebut, atau sakit yang pantas terjadi sebaik mula bergerak. Perlu diingatkan bahawa secara logiknya, jika pembuluh darah mengalami masalah, otot-otot juga akan turut terlibat, jadi sakit yang dialami bercampur aduk dan akan mengelirukan kita.
Sakit kepala yang disebabkan oleh hubungan kelamin, atau memakan makanan tertentu, atau selepas melakukan aktiviti fizikal berkait rapat dengan anatomi di atas dan ianya saling berhubung dan kompleks. Hanya mereka yang berminat sahaja boleh membuat kajian secara terperinci, tetapi bukan 'layman people' yang hanya perlu mengetahui cara mengatasi dan kaedah pencegahannya sahaja. Jika kita merasai bahawa sakit kepala acap kali berlaku selepas hubungan kelamin, maka kita boleh mencari jalan penyelesaian mengikut keselesaan kita seperti berehat, bertenang, atau mengambil pil-pil tahan sakit yang biasa. Atau pun berbincang dengan pasangan masing-masing bagaimana kaedah mencapai kepuasan tanpa masalah. Jika kita mendapati sakit kepala sewaktu makan, boleh jadi kita mengalami 'TMJ (temporo-mandibular junction) syndrome' yang mana terdapat kebengkakan pada sendi rahang, atau otot kunyah kita letih akibat kunyah terlalu lama (kunyah daging liat der..). Jika sakit kepala dialami selepas makan, boleh jadi ianya berpunca daripada makanan tersebut. Maka makanan tertentu boleh dielakkan. Jika sakit kepala sewaktu sikat rambut, maka ianya mungkin berpunca daripada otot-otot di sekitar kepala yang menegang dan menarik aponeurosis kerana ia menjadi terlalu sensitif yang mana mungkin disebabkan terdapat jerawat pada kulit kepala atau sikat terlalu lama (kontrol hensem).
Sakit Kepala Kluster
Pernahkah anda mengalami sakit kepala yang terlalu kuat? Yang membangunkan anda daripada tidur? Yang menyebabkan mata anda berair? Anda mungkin menghidap sakit kepala jenis kluster (cluster headache). Ianya jarang berlaku. Kebiasaannya sewaktu serangan, pesakit akan mengalami sakit yang amat bermula pada salah satu mata yang kemudiannya merebak ke bahagian lain muka, leher dan tengkuk. Pada masa yang sama, mata dan hidung akan mulai berair atau hidung menjadi tersumbat. Muka akan sedikit membengkak pada bahagian yang sakit, dan kelopak mata sedikit jatuh. Sakitnya dirasai seperti tikaman yang tajam dan panas. Sewaktu serangan, kebiasaannya pesakit memilih untuk berdiri dan sandar pada bahagian yang keras dan mengelak untuk baring kerana merasakan posisi tersebut akan menyebabkan sakit bertambah kuat. Sakit ini terkadang boleh disalah ertikan dengan migrain yang mana mempunyai ciri-ciri yang hampir sama. Cuma migrain kebiasaannya mengandungi apa yang dipanggil 'aura', di mana sebelum mendapat serangan sakit kepala, pesakit akan merasakan seolah-olah silau, atau telinga seakan-akan berdesing, atau sensitif kepada bunyi, atau merasa loya. Pesakit migrain memilih untuk baring kerana posisi tersebut dirasakan dapat meredakan kesakitan. Sakit kepala jenis kluster berlaku pada waktu-waktu tertentu. Kebiasaannya pada musim serangan, ia berlarutan hampir setiap hari selama satu ke tiga bulan. Dalam tempoh sehari tersebut, sakit kepala akan menyerang selama beberapa minit atau beberapa jam dan waktu serangan biasanya sama dan tepat. Jika hari ini ia menyerang pukul 3 pagi, keesokan harinya juga sakit akan datang pada waktu yang sama yang mana kebiasaannya adalah pada waktu malam, beberapa jam selepas masuk tidur. Selepas itu, ia akan mulai reda secara tiba-tiba dan meninggalkan si pesakit dalam keadaan letih lesu. Kajian masih gagal mengetahui punca sebenar sakit kepala jenis kluster terjadi. Tetapi, oleh kerana sakit tersebut berlaku tepat pada waktu-waktu tertentu, ia mungkin melibatkan mekanisme penjadualan masa yang dikawal oleh otak, dan ini menguatkan teori bahawa ianya berpunca daripada 'hypothalamus' iaitu satu bahagian otak yang mengawal waktu biologi tubuh badan. Owh, tu sebab aku diajar petua dulu-dulu, kalau nak bangun awal pagi tapi jam loceng rosak, pesan kat diri sendiri, "Obiwan Obiwan, tolong kejutkan Obiwan pukul 5 pagi ya? Baiklah Obiwan, nanti Obiwan kejutkan Obiwan pukul 5 pagi. Terima kasih Obiwan. Sama-sama Obiwan." Maka, anda pun terjaga pukul 5 pagi secara automatik. Kajian juga mendapati aktiviti otak pada bahagian hypothalamus menjadi aktif sewaktu serangan sakit. Tiada makanan tertentu yang boleh menyebabkan terjadinya sakit kepala kluster. Tetapi sewaktu musim serangan seperti yang telah dijelaskan tadi, didapati minuman beralkohol akan mempercepatkan proses serangan, begitu juga dengan ubat sakit jantung yang dipanggil GTN (ubat yang letak bawah lidah). Jika anda adalah seorang lelaki, berumur lewat 20'an, seorang perokok, mengamalkan pengambilan alkohol dalam minuman, dan mempunyai sejarah keluarga menghidap sakit yang sama, maka anda mempunyai risiko tinggi menghidap sakit kepala kluster. Diagnosis sakit kepala kluster biasa dibuat hasil daripada penceritaan pesakit tentang ciri-ciri serangan seperti yang di atas. Di samping itu, beberapa 'clue' boleh didapati sewaktu pemeriksaan, iaitu anak mata pada bahagian sakit dilihat sedikit kecil berbanding di sebelahnya dan kelopak mata juga sedikit jatuh.
Migrain
Sedikit tentang migrain ada diterangkan di atas tadi. Migrain selalu digunakan untuk memberi maksud sakit kepala yang kuat dan istilah tersebut begitu popular digunakan. Ia selalunya akan datang dengan tanda amaran seperti perasaan mual, kebas pada tangan, sensitif kepada cahaya dan bunyi, dan sebagainya sebelum terjadinya sakit kepala yang kuat, berdenyut-denyut di bahagian sebelah kepala selama beberapa jam atau berterusan sepanjang hari. Si penderita akan cuba berbaring dan mencari tempat yang gelap dan sunyi untuk berehat. Ia boleh datang pada bila-bila masa. Kebiasaannya, proses terjadinya migrain ada empat peringkat; 'prodrome', 'aura', serangan (attack), 'postdrome. Beberapa hari sebelum mendapat serangan migrain, anda mungkin akan berasa sembelit, atau cirit-birit, atau berasa tertekan, sensitif, menjadi aktif, sakit tengkuk, atau banyak makan. Ini disusuli, tanda-tanda aura dan serangan migrain sejurus selepas itu. Beberapa lama kemudian migrain pun reda dan anda akan merasai perasaan kelegaan yang amat dan sesetengahnya mungkin akan mengalami perasaan gembira (euphoria) sebaik migrain reda. Serangan migrain bermula seawal usia kanak-kanak. Punca berlakunya migrain masih tidak dapat dipastikan. Walau bagaimanapun, didapati hormon 'serotonin' adalah rendah semasa serangan migrain. Kadar serotonin yang rendah meransang perembesan hormon 'neuropeptides' oleh saraf trigeminal. Hormon ini kemudiannya berlegar melalui selaput otak dan menyebabkan kesakitan migrain. Walau apa pun mekanismanya, didapati migrain boleh diransang melalui pemakanan, bunyi, cahaya, bau dan lain-lain, tanyalah pada mereka yang pernah mengalaminya kerana simptom setiap orang adalah berlainan tetapi masih berkongsi ciri-ciri am seperti yang telah disebutkan. Anda berisiko menghidapi migrain jika anda seorang wanita yang berumur 40an dan mempunyai keturunan yang mengalami simptom-simptom yang sama. Selain itu, didapati kanak-kanak lelaki kerap mengalami migrain berbanding kanak-kanak perempuan. Migrain kerap menyerang wanita pada awal kedatangan haid dan bagi wanita yang mengandung, ia paling teruk terjadi pada awal kandungan dan beransur lega apabila mendekati waktu bersalin. Subhanallah!
‘Tension Headache’
Sakit kepala akibat tekanan (tension headache) merupakan sakit kepala yang ringan atau sederhana sahaja. Ia dirasai seolah-olah gelang getah yang diikat di sekeliling kepala. Kadang-kadang sakit juga dirasai di bahagian leher dan bahu apabila disentuh. Ia boleh terjadi selama beberapa minit atau sehingga berminggu-minggu. Ianya dikatakan kronik jika sakit kepala yang dialami lebih daripada 15 hari dalam tempoh sebulan selama sekurang-kurangnya tiga bulan. Sakit kepala jenis ini juga boleh menyerupai migrain. Jadi ianya perlu dikenal pasti dengan betul melalui pengalaman. Berbanding migrain, aktiviti fizikal didapati tidak mempengaruhi tahap kesakitan yang dialami pesakit 'tension headache'. Tiada yang tahu setakat ini bagaimana sakit kepala tekanan berlaku, tetapi melalui teori, ianya adalah akibat isyarat gangguan saraf menuju ke otak yang bercampur-aduk seterusnya menyebabkan sensitif kepada rasa sakit meningkat. Ini dikuatkan lagi oleh fakta bahawa otot-otot di sekitar kawasan tersebut terasa sakit apabila disentuh. Beberapa keadaan seperti emosi, posisi dan postur badan, serta pergerakan dan tekanan pada rahang akan menyebabkan sakit kepala jenis ini mudah datang. Jika anda seorang wanita dan berumur dalam lingkungan 40an, anda berisiko tinggi menghidapi 'tension headache'.
Sakit Kepala Kronik
Sakit kepala walau apa pun jenisnya, jika si penghidap mengalaminya setiap hari lebih daripada 15 hari dalam tempoh sebulan dan berlarutan sekurang-kurangnya tiga bulan, ia dianggap kronik. Ini ada disebutkan sebentar tadi yang mana ianya termasuk migrain. Selain itu, terdapat sakit kepala lain yang kronik, iaitu 'new daily persistent headache'. Ia dirasai di kedua-dua bahagian muka, yang mana berbeza dengan jenis kluster dan migrain. Sakit kepala jenis ini tidak berdenyut, sebaliknya dirasakan seperti tekanan kuat pada kepala dan terasa sendat di kepala. Biasanya ia tidak terlalu menyakitkan berbanding jenis kluster dan migrain. Si penghidap juga akan merasa loya dan sensitif kepada cahaya dan bunyi sewaktu serangan.
Hemicrania Continua
Sakit kepala jenis 'hemicrania continua' boleh dikatakan menyerupai ciri-ciri seperti kluster. Sesuai dengan namanya, pesakit akan terus merasai kesakitan tersebut tanpa lega dan dalam waktu-waktu tertentu, mendapat serangan yang serupa seperti sakit kepala jenis kluster. Anda berisiko tinggi mendapat sakit kepala kronik jika anda kerap mengalami perasaan takut dan bimbang, kerap murung, gemuk, banyak mengambil kafien (caffiene) di dalam minuman, kerap menggunakan ubat tahan sakit, mempunyai gangguan tidur, berdengkur, atau kerap melakukan aktiviti yang memberikan tekanan pada bahagian kepala dan tengkuk.
Lain-lain Sakit Kepala
Beberapa sakit kepala terjadi disebabkan batuk, melakukan hubungan kelamin dan aktiviti fizikal. Penting untuk dikenalpasti kerana jika ianya terjadi, kaedah rawatan yang sesuai dapat diberikan.
Sakit Kepala Disebabkan Batuk, Aktiviti Seks & Aktiviti Fizikal
Sakit kepala boleh juga berlaku sejurus selepas batuk atau apa-apa aktiviti yang melibatkan tekanan (berak, bersin, dll) dan ia dirasai sewaktu terbatuk atau sewaktu aktiviti-aktiviti tersebut dilakukan, berlarutan selama beberapa saat ke setengah jam. Ia dirasai di kedua-dua bahagian kepala dan tengkuk. Segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut jika sakit kepala tersebut berlarutan sehingga beberapa hari kerana boleh jadi penyebabnya adalah sesuatu yang merbahaya seperti ketumbuhan dalam otak, bentuk tengkorak yang tidak normal, atau disebabkan kecacatan pada cerebellum yang dipanggil 'chiari malformation'. Sakit kepala jenis ini tidak dapat dipastikan puncanya tetapi dipercayai akibat belaku tekanan yang kuat dalam kepala pada waktu itu. Jika anda seorang lelaki dan berusia 40 tahun ke atas, anda berisiko mendapat sakit kepala merbahaya yang disebabkan oleh batuk. Sakit kepala yang melibatkan aktiviti fizikal berlaku sejurus selepas melakukan aktiviti tersebut, yang mana paling kerap terjadi sewaktu berlari, berenang, dan sebagainya. Sakit dirasai seperti berdenyut-denyut di kedua-dua bahagian kepala selama lima minit atau berlanjutan sehingga dua hari. Walau bagaimanapun, jika sakit tersebut disertai muntah-muntah, terasa kaku pada tengkuk, pengsan, atau disertai masalah penglihatan, atau berlanjutan lebih daripada dua hari, maka pemeriksaan selanjutnya oleh doktor perlu dilakukan. Mekanisma berlakunya serangan sakit kepala ini tidak dapat dipastikan, tetapi ramai yang berpendapat ianya disebabkan oleh pembuluh darah di kepala yang mengembang pada ketika itu. Bagaimanapun, ia boleh juga terjadi disebabkan sesuatu penyakit pada pembuluh darah di dalam otak, atau disebabkan ketumbuhan di dalam otak, atau sakit jantung, atau masalah resdung. Anda berisiko menghidap sakit kepala jenis ini yang disebabkan aktiviti fizikal jika anda berumur 20an, dan melakukan aktiviti tersebut dalam keadaan cuaca panas dan di altitut yang tinggi seperti di kawasan berbukit atau pergunungan. Mereka yang mendapat sakit kepala jenis ini yang merbahaya pula biasanya terjadi dalam lingkunagan 40an, sama ada pada lelaki atau perempuan. Sakit kepala boleh juga berlaku sewaktu melakukan hubungan kelamin, yang mana ia terjadi sejurus sebelum atau semasa orgasma berlaku. Ia tidak merbahaya jika terjadi selama beberapa saat, dan terasa seperti denyutan dan tikaman. Ada juga yang mula muncul sedikit demi sedikit selama beberapa minit dan merangkumi sakit pada bahagian rahang dan leher. Sakit dirasakan seperti tekanan ringan pada kedua-dua bahagian kepala dan menjadi semakin teruk seiring dengan tahap orgamsa yang dirasai. Punca sebenar mungkin disebabkan otot-otot kepala yang tegang semasa hubungan kelamin dan tekanan darah yang tinggi semasa aktiviti seks itu dilakukan yang mana berlaku secara perlahan selama beberapa minit. Ia boleh terjadi secara mengejut disebabkan penyakit yang merbahaya seperti pendarahan pada otak yang berlaku ketika itu (akibat tekanan atau masalah pembuluh darah pada otak), atau akibat glaukoma (glaucoma), atau 'pheochromocytoma' (masalah ginjal dan hormon) atau pengambilan pil perancang dan lain-lain ubat, atau masalah resdung, atau masalah jantung. Anda berisiko menghidapinya jika anda seorang lelaki dan pernah menghidap migrain. Sakit kepala juga boleh berlaku sewaktu memakan aiskrim, penggunaan pil tahan sakit yang berlebihan, masalah air tulang belakang, dan lain-lain. Apa yang penting ialah untuk kita tahu bila masanya perlu berjumpa doktor.
Rawatan Sakit Kepala
Pelbagai kaedah yang dilakukan untuk meredakan sakit kepala. Di antara yang popular ialah ambil 'panadol'lah, apa lagi! Tetapi sebenarnya ia boleh dicegah jika anda mempunyai tidur yang mencukupi dan mengikut jadual. Elakkan meminum arak atau merokok! Sesetengah kaedah seperti yoga mampu merehatkan otot-otot yang tegang dan yang penting, begitu juga dengan mendengar muzik dan mandian. Jika anda mengaku Islam, jangan tinggal solat, kerana ia mengandungi banyak kelebihan yang tersurat dan tersirat. Buatlah satu diari mencatatkan kadar kekerapan sakit kepala yang dialami agar senang dikenalpasti penyebabnya yang sebenar. Cuba elakkan penyebabnya seperti pengambilan pil perancang (bincang dengan pakar sakit puan anda untuk dos yang sesuai), mengambil minuman ber'caffeine' mengawal emosi, melakukan aktiviti fizikal dengan teratur dan istiqamah, melakukan pemanasan badan sebelum bersukan, dan makan mengikut jadual. Selain itu, anda juga hendaklah menjaga postur dengan betul sewaktu duduk, berdiri, tidur, mengangkat barang, bersenam, bersukan, dan sebagainya. Doktor juga akan menyarankan anda supaya berhenti melakukan aktiviti seks sebelum orgasma atau berperanan sebagai pasif sewaktu melakukan hubungan kelamin. Tuamkan bahagian yang sakit dengan tuala panas atau sejuk mengikut keselesaan anda. Terdapat juga kaedah seperti latihan 'biofeedback' atau terapi 'cognitive behavior' yang disediakan oleh pakar psikiatrik untuk membantu anda mengawal emosi dan merehatkan otot-otot yang tegang. Kaedah perubatan moden disediakan untuk membantu mengurangkan penderitaan sakit kepala tersebut. Ubat seperti 'beta-blocker' digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, glaukoma, migrain, dan sakit kepala akibat seks. Ubat tahan sakit yang kerap digunakan pula adalah seperti aspirin, ibuprofen, naproxen, 'indomethacin', 'triptan', 'acetamenophen'. Penghidap sakit kepala akibat seks disarankan mengambil beta-blocker hanya jika tiada alahan dengan ubat tersebut, atau sakit kepala yang dialami mengganggu aktiviti harian dan tidur.
Terdapat banyak lagi yang perlu diberitahu tentang sakit kepala ini. Kita akan bersambung di lain kali. Wassalaam.

No comments:
Post a Comment